Assalamualaikum
wbt..
Apa
khabar semua sahabat? Apa khabar dengan iman antum? Moga baik-baik hendakNya.
InsyaAllah. Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana masih diberikan nikmat
Iman serta nikmat Islam yang mana nikmat paling besar telah diberikan kepada
kita yang bernama Muslim. Dengan nikmat itu dapatlah kita diberi peluang
olehNya untuk kita terus meningkatkan amalan kita. Selawat dan salam kepada
Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Allahumma solli 'alla sayyidina
Muhammad.
InsyaAllah pada entri kali ini kami ingin berkongsi sedikit perkongsian berkaitan "Solusi Membersih Hati".
Ramai orang tertanya-tanya berkenaan pembersihan hati. “Bagaimana
aku hendak membersihkan hati aku?”
“Aku sudah cuba untuk membersihkan hati, tetapi tidak berjaya.”
“Aku sudah mula berbuat baik tetapi tidak dapat
istiqamah. Aku masih buat benda jahat lagi.”
Ya, macam-macam kita dengar bila masuk bab pembersihan hati untuk
menjadi hamba kepada Illahi ini. Kita semua tertanya-tanya cara ntuk membersihkan
hati secara efektif. Sebab apabila kita berusaha, kita terasa amat sukar untuk
membersihkannya dan akhirnya kita kelelahan dalam usaha mencucinya.
Bagaimana agaknya resolusi pembersihan hati ini? Rasulullah SAW ada
bersabda, Berkenaan kepentingan menjaga hati:
“Dalam jasad manusia ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh, jika buruk daging itu, maka buruklah seluruh tubuh. Dan ketahuilah bahawa itu adalah hati.:”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebab itu, kebanyakan manusia mampu merasakan satu urgensi untuk
menjaga dan membersihkan hati mereka. Cuma, biasanya manusia sukar untuk bertemu
dengan solusinya. Mengapa kita tidak dapat membersihkan hati kita? Mungkin itu
soalan yang kita fikirkan dalam kehidupan kita.
Hal ini kerana, dalam diri kita, kita masih menyimpan rasa cinta
dengan dosa. Kemungkinan daripada 100 dosa yang biasa kita lakukan, kita telah
tinggalkan 99. Tetapi, ada satu dosa yang kita langsung tidak boleh tinggalkan.
Kita ada rasa cinta kepada dosa itu. Maka, ketahuilah bahawa kecintaan kepada
dosa itulah yang menghalang jiwa kita daripada menjadi bersih.
Satu analogi
berkenaan cara membersihkan hati. “Hati kita
ibarat cawan yang kotor. Kalau kita sekadar isi air yang jernih ke dalam cawan
kotor itu, kekotoran itu tidak akan hilang. Malah, air jernih itu yang akan
dikotorkan. Tetapi kalau kita isi air jernih, kita cuci, kita kikis kekotoran
di dalm cawan itu , kemudian kita terus isi lagi air jernih, insya-Allah
kekotoran di dalam cawan itu akan hilang, dan air di dalam cawan hanya akan
tinggal air yang jernih.”
Satu lagi analogi berkenaan dengan cara untuk pembersihan hati “Macam
air di dalam cawan bekas orang guna untuk minum kopi. Semasa serbuk-serbuk,
keladak kopi itu masih ada lagi di dalam cawan, kalau kita isi air jernih, air
itu akan menjadi hitam. Yang perlu kita buat adalah buang keledak dan serbuk
kopi itu dahulu.”
Ya, masalah untuk kita membersihkan hati adalah apabila kita tidak
terlebih dahulu merengkuh kecintaan kita
terhadap dosa-dosa kita. Kita masih suka melihat perempuan yang tak tutup aurat,
kemudian kita nak kusyuk dalam solat? Kita masih suka buat perkara lagha, kita cakap kita cinta Allah dan Rasul, tapi adakah kita khatamkan sirah-sirah Nabi dan para sahabat terdahulu. Kita masih leka dengan dunia kita. Hiburan ibarat sudah sebati dengan diri kita. Kita berdoa dekat Allah supaya dijauhkan daripada seksaan api neraka, tapi perbuatan kita itu mendekatkan kita dengan api neraka. Ia tidak selari dengan ucapan kita. Itulah manusia. Itulah kita.Yang tidak sempurna.Yang hipokrit kepadaNYA. Allahurobbi. Saya suka menukilkan kata-kata yang masyur, anda semua sering
mendengarnya.
“Dua cinta yang tidak boleh bersatu dalam satu masa adalah cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada maksiat”
“ Islam dengan jahiliyyah
ini adalah ibarat minyak dan air. Tidak akan sesekali bercampur. Satu di
selatan dan satu di utara. Selangkah kita mendekati Allah, kita telah selangkah
meninggalkan jahiliyyah. Selangkah kita mendekati jahiliyyah, hakikatnya kita
telah selangkah meninggalkan Allah.”
Jadi, solusi yang kita dapat adalah, hendak membersihkan jiwa kita,
hendak menjadi hamba Allah SWT, pertamanya kita perlu rengkuh segala
kemungkaran yang melekat dalam jiwa kita dan kita perlu tolak semua ajaran
buruk yang datang kepada kita. Walaupun jahiliyyah itu adalah jahiliyyah yang kita
suka.
Kecintaan kita kepada dosa itu bukanlah alasan untuk kita berbuat
dosa. Kalau kita fikirkan secara logik, apabila kita masih cintakan dosa, suka
berbuat dosa, dimanakah agaknya cinta kita kepada Allah SWT semasa kita
melakukan dosa itu? Cinta pada siapakah yang lebih tinggi semasa kita berbuat
dosa itu?
Rasulullah SAW bersabda: “seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada dalam keimanan iaitu iman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada dalam keimanan.” (Sahih Muslim)
Cuba kita renungkan. Semasa kita melakukan dosa itu, sebenarnya
kita telah tewas lantaran cinta kita kepada dosa. Kita lemas di dalamnya,
lantas kita lupa untuk bernafas dalam jiwa kehamban kita kepada Allah SWT. Cinta kepada dosa, itulah yang menghalang jiwa kita daripada
menjadi hamba yang sebenarnya. Itu yang menghalang kita daripada membersihkan
hati kita.
Bagaimana agaknya hati kita bisa bersih, sekiranya perkara ini
masih wujud dalam jiwa kita? Mari kita sama-sama berusaha merengkuh kecintaan
kepada dosa dalam hati kita.