RASULULLAH SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum
kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh
dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda,
Saidina Ali Abu Talib.
Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim dan
muslimah, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan.
Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum
Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah
ciri-ciri utama orang beriman.
Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh
Ibnu Abbas:
Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: "Pada hari
perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga
belas wasiat khusus untukku:"
1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa
memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa
kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).
2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan di jari
tengah'. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.
3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar:
"Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta" ( Tuhanku,
ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: "Hai
malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa
melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni
dia".
4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu
menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan,
bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq.
Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu
celaka.
5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba.
Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan
menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.
6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau
benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan
sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang
yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.
7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok.
Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.
8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan
maki-hamun dan sumpah seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan
pada akhirnya penyesalan.
9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi.
Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah,
manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang
dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.
10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul rasa marah,
duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke
atas hamba-Nya. Pertahankah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah
engkau kepada kesabaran.
11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau
nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh
peruntukan daripada Allah.
12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan
juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka
engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku
adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau dikasihi seluruh isi langit dan
bumi.
13. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung
dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa
persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi
engkau.
Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan
dan kelepasan. InsyaAllah. Islam pada awalnya asing dan akan kembali terasing, maka berbahagialah
kiranya bagi yang terasing.
p/s :
Nabi Muhammad menyanyangi setiap satu dari umatnya selagi umatnya masih kekal dengan agamanya...
sekian
wassalam
No comments:
Post a Comment