Mari Kenali Siapa Dia Al-Fateh..
Assalamualaikum wbt
Kami ingin membawa satu kisah berkaitan Sultan
Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka
Konstantinople) kepada antum sekalian.
Beliau ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan
pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan
Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar
al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar
Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu
bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata:
“Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik
raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”
Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk
menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok
berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka
memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun
kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal
menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar
Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’
Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk
sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.
Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan
Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople
dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang
pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini
akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.
Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya
berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman
Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah
kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang
lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain
itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap
kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.
ZAMAN KECIL
Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan
Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal
dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan
yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan
sejak kecil lagi.
Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik,
seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia
berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi,
Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.
Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah
dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana
mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas
mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini
ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin
al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai
penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.
Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada
Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi
anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.
ZAMAN REMAJA
Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada
tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad
ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir
3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya
menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang
ke-7.
ZAMAN DEWASA
Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang
hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia
seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng
Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi
buruh binaan.
Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan
rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar
mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan
mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah.
Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.
Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih
memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun
Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan
Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah
dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya
setelah dia menjawat jawatan khalifah:
“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan
ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang
khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”
Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah
lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.
MEMBUKA KONSTANTINOPLE
Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad
membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian
banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan
tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya,
kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa
mesti dilakukan.
Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah
mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam
ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram
setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam
ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini
menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.
Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang.
Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh
melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu
hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam
jatuh.
Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota
Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat
membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang
merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk
tempoh yang agak lama juga.
Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople
pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48
hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula
dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka
yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang
dengan tangan kosong.
Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan
tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal
itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh
luar biasa.
Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang
tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan.
Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi
bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah
peperangan hebat berlaku.
Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak
boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan
ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”
Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan
bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh.
Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang
berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil
mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut
ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya
mendapatkan syahid. Allahu Akbar!
Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah
lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh.
Sultan Muhammad menukar nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa
maksud “Islam Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh
seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki.
Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya
Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium.
Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary,
Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.
JUMAAT BERSEJARAH
Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera
Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu
masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh
bertitah kepada tenteranya:
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila
duduk.”
Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka
tidak pernah
meninggalkan kewajipan solat fadhu. Beginilah salah satu ciri
sebaik-baik tentera.
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh,
sila duduk.”
Sebahagian daripada tenteranya duduk.
“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh,
sila duduk.”
Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan
pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan
solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya peribadi seorang
pemimpin sebegini! Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?
AKHIR HAYAT
Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe.
Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula
yang mengatakan dia diracun.
Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang
mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Allahu a’lam.
KISAH POTRET SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH
Potret ini memang masyhur. Siapakah pelukisnya?
Pelukisnya ialah seorang Itali bernama Genti le Bellini. Dia dihantar oleh
Senat Venice ke Istanbul pada tahun 1479 untuk bertemu dengan Sultan Muhammad
al-Fateh atas urusan hubungan diplomatik. Dialah yang melukis potret baginda.
PEMBUKA KONSTANTINOPLE SETERUSNYA
Hadis Nabi bercerita tentang kedatangan Yakjuj Makjuj. Kedatangan tentera
Khazar, Monggol dan Rusia juga ternyata gerombolan Yakjuj Makjuj. Namun Yakjuj
Makjuj yang utama akan muncul selepas kedatangan Imam Mahdi dan Nabi Isa
al-Masih nanti.
Begitu juga dalam kes Pembuka Konstantinople. Sultan Muhammad al-Fateh dan
tenteranya memang benar sebaik-baik raja dan tentera pada zaman mereka yang
berjaya membuka Konstantinople, namun Pembuka Konstantinople yang utama akan
tiba tidak lama lagi. Mereka juga sebaik-baik raja dan tentera, untuk
penghujung akhir zaman ini.
Kita lihat apa yang dinukilkan oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Haitamy dalam kitabnya
Al-Qaul al-Mukhtasor fi ‘Allamah al-Mahdiy al-Muntazor:
“Al-Mahdi akan memerangi Rom selama 3 hari. Pada hari ketiga itulah Rom runtuh.
Kemudian menyerang Konstantinople. Ketika mereka membahagi-bahagikan emas di
Konstantinople dengan memakai takaran perisi, tiba-tiba ada orang yang
berteriak: “Sesungguhnya Dajjal telah menundukkan keluarga-keluarga kamu
semua.”
“Al-Mahdi akan menundukkan Konstantinople dan Jabal ad-Dailam.” (Abu Nuaim)
Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya mereka menundukkan Konstantinople dan Rom dengan membunuh 40,000
jiwa……. Ketika mereka membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba
mereka dikejutkan dengan berita kedatangan Dajjal…”
Sabda Nabi:
“Peperangan yang terbesar ialah tertakluknya Konstantinople. Dan keluarnya
Dajjal ialah selama 7 bulan.”
Hadis riwayat al-Hakim:
“Sesungguhnya pasukan yang menundukkan Konstantinople ialah pasukan Hijaz…….
Kemudian mereka dikejutkan dengan orang meneriakkan tentang kedatangan Dajjal.”
“Tertakluknya Konstantinople ialah keluarnya Dajjal.”
“Ketika menundukkan Konstantinople, Al-Mahdi menancapkan benderanya untuk
mengambil wudhuk dan mengerjakan solat Subuh.”
Cuba perhatikan, penaklukan Konstantinople dikaitkan dengan al-Mahdi dan
pra-kezahiran Dajjal. Maksudnya pembukaan utama Konstantinople belum berlaku.
Ia akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan tentera iaitu Imam Mahdi dan
pasukannya.
Anda mahu jadi salah seorang ahli pasukannya yang sebaik-baik tentera itu?
Bandingkan amalan anda dengan amalan para perajurit Pembuka Konstantinople yang
pertama iaitu tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Tentunya kualiti tentera yang
membuka akan membuka Konstantinople kali ini adalah lebih hebat daripada yang
pertama. Layakkah anda?
Satu hal yang menarik, orang yang mengatakan Konstantinople akan jatuh ke
tangan tentera Islam ialah Nabi Muhammad saw, Pembuka Konstantinople yang
pertama ialah Sultan Muhammad manakala Pembuka Konstantinople yang utama ialah
Muhammad bin Abdullah iaitu al-Mahdi. Ketiga-tiganya Muhammad.
#pejuang Islam yang sangat muda yang mampu menggegar dunia...#
...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
p/s :
renungkanlah di mana sumbangan kita kepada Islam
Andai kita tidak sekuat dan sehebat Al-Fateh
apalah kiranya kita kuatkan Iman dan suburkan Taqwa di hati untuk menguatkan diri kita
Sekian
wassalam
No comments:
Post a Comment