Wednesday 16 March 2016

Solusi Membersih Hati

Assalamualaikum wbt..
Apa khabar semua sahabat? Apa khabar dengan iman antum? Moga baik-baik hendakNya. InsyaAllah. Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana masih diberikan nikmat Iman serta nikmat Islam yang mana nikmat paling besar telah diberikan kepada kita yang bernama Muslim. Dengan nikmat itu dapatlah kita diberi peluang olehNya untuk kita terus meningkatkan amalan kita. Selawat dan salam kepada Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Allahumma solli 'alla sayyidina Muhammad.

 InsyaAllah pada entri kali ini kami ingin berkongsi sedikit perkongsian berkaitan "Solusi Membersih Hati". 




Ramai orang tertanya-tanya berkenaan pembersihan hati. “Bagaimana aku hendak membersihkan hati aku?”

“Aku sudah cuba untuk membersihkan hati, tetapi tidak berjaya.” “Aku sudah mula berbuat baik tetapi tidak dapat  istiqamah. Aku masih buat benda jahat lagi.”

Ya, macam-macam kita dengar bila masuk bab pembersihan hati untuk menjadi hamba kepada Illahi ini. Kita semua tertanya-tanya cara ntuk membersihkan hati secara efektif. Sebab apabila kita berusaha, kita terasa amat sukar untuk membersihkannya dan akhirnya kita kelelahan dalam usaha mencucinya.

Bagaimana agaknya resolusi pembersihan hati ini? Rasulullah SAW ada bersabda, Berkenaan kepentingan menjaga hati:
“Dalam jasad manusia ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh, jika buruk daging itu, maka buruklah seluruh tubuh. Dan ketahuilah bahawa itu adalah hati.:”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebab itu, kebanyakan manusia mampu merasakan satu urgensi untuk menjaga dan membersihkan hati mereka. Cuma, biasanya manusia sukar untuk bertemu dengan solusinya. Mengapa kita tidak dapat membersihkan hati kita? Mungkin itu soalan yang kita fikirkan dalam kehidupan kita.

Hal ini kerana, dalam diri kita, kita masih menyimpan rasa cinta dengan dosa. Kemungkinan daripada 100 dosa yang biasa kita lakukan, kita telah tinggalkan 99. Tetapi, ada satu dosa yang kita langsung tidak boleh tinggalkan. Kita ada rasa cinta kepada dosa itu. Maka, ketahuilah bahawa kecintaan kepada dosa itulah yang menghalang jiwa kita daripada menjadi bersih.

Satu analogi berkenaan cara membersihkan hati.  “Hati kita ibarat cawan yang kotor. Kalau kita sekadar isi air yang jernih ke dalam cawan kotor itu, kekotoran itu tidak akan hilang. Malah, air jernih itu yang akan dikotorkan. Tetapi kalau kita isi air jernih, kita cuci, kita kikis kekotoran di dalm cawan itu , kemudian kita terus isi lagi air jernih, insya-Allah kekotoran di dalam cawan itu akan hilang, dan air di dalam cawan hanya akan tinggal air yang jernih.”

Satu lagi analogi berkenaan dengan cara untuk pembersihan hati “Macam air di dalam cawan bekas orang guna untuk minum kopi. Semasa serbuk-serbuk, keladak kopi itu masih ada lagi di dalam cawan, kalau kita isi air jernih, air itu akan menjadi hitam. Yang perlu kita buat adalah buang keledak dan serbuk kopi itu dahulu.”

Ya, masalah untuk kita membersihkan hati adalah apabila kita tidak terlebih dahulu merengkuh  kecintaan kita terhadap dosa-dosa kita. Kita masih suka melihat perempuan yang tak tutup aurat, kemudian kita nak kusyuk dalam solat? Kita masih suka buat perkara lagha, kita cakap kita cinta Allah dan Rasul, tapi adakah kita khatamkan sirah-sirah Nabi dan para sahabat terdahulu. Kita masih leka dengan dunia kita. Hiburan ibarat sudah sebati dengan diri kita. Kita berdoa dekat Allah supaya dijauhkan daripada seksaan api neraka, tapi perbuatan kita itu mendekatkan kita dengan api neraka. Ia tidak selari dengan ucapan kita. Itulah manusia. Itulah kita.Yang tidak sempurna.Yang hipokrit kepadaNYA. Allahurobbi. Saya suka menukilkan kata-kata yang masyur, anda semua sering mendengarnya. 

“Dua cinta yang tidak boleh bersatu dalam satu masa adalah cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada maksiat”
“ Islam dengan jahiliyyah ini adalah ibarat minyak dan air. Tidak akan sesekali bercampur. Satu di selatan dan satu di utara. Selangkah kita mendekati Allah, kita telah selangkah meninggalkan jahiliyyah. Selangkah kita mendekati jahiliyyah, hakikatnya kita telah selangkah meninggalkan Allah.”

Jadi, solusi yang kita dapat adalah, hendak membersihkan jiwa kita, hendak menjadi hamba Allah SWT, pertamanya kita perlu rengkuh segala kemungkaran yang melekat dalam jiwa kita dan kita perlu tolak semua ajaran buruk yang datang kepada kita. Walaupun jahiliyyah itu adalah jahiliyyah yang kita suka.

Kecintaan kita kepada dosa itu bukanlah alasan untuk kita berbuat dosa. Kalau kita fikirkan secara logik, apabila kita masih cintakan dosa, suka berbuat dosa, dimanakah agaknya cinta kita kepada Allah SWT semasa kita melakukan dosa itu? Cinta pada siapakah yang lebih tinggi semasa kita berbuat dosa itu?

Rasulullah SAW bersabda: “seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada dalam keimanan iaitu iman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak  jika ketika itu dia berada dalam keimanan.” (Sahih Muslim)
Cuba kita renungkan. Semasa kita melakukan dosa itu, sebenarnya kita telah tewas lantaran cinta kita kepada dosa. Kita lemas di dalamnya, lantas kita lupa untuk bernafas dalam jiwa kehamban kita kepada Allah SWT. Cinta kepada dosa, itulah yang menghalang jiwa kita daripada menjadi hamba yang sebenarnya. Itu yang menghalang kita daripada membersihkan hati kita.

Bagaimana agaknya hati kita bisa bersih, sekiranya perkara ini masih wujud dalam jiwa kita? Mari kita sama-sama berusaha merengkuh kecintaan kepada dosa dalam hati kita.


Wednesday 9 March 2016

GERHANA BUKAN WAKTU BERSUKA RIA.

GERHANA BUKAN WAKTU BERSUKA RIA.


Gambar diambil dari Kolej JasminePuncak Perdana pada pukul 8.06 pagi


Cuba kita bandingkan reaksi nabi sallallahu 'alaihi wa sallam apabila berlaku gerhana dengan reaksi kita pada hari ini?

عَنْ أَبِي مُوسَى، قَالَ خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم
Daripada Abu Musa radiallahu 'anhu, beliau berkata: Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam.

فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ
Lalu baginda bangun dalam keadaan takut akan berlakunya hari Kiamat sehingga baginda tiba di masjid.

فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلاَةٍ قَطُّ
Lalu baginda mendirikan solat yang paling panjang berdirinya, ruku'nya dan sujudnya yang pernah aku lihat baginda lakukan di dalam solat.

ثُمَّ قَالَ " إِنَّ هَذِهِ الآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لاَ تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ
Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda yang Allah hantar. Ia tidaklah berlaku kerana kematian atau kehidupan seseorang.

وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ
Akan tetapi Allah menghantarnya untuk menimbulkan rasa takut pada hambaNya.

فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ "
Apabila kalian lihat ia berlaku, segeralah mencari perlindungan dengan mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon keampunanNya.

[Sahih Muslim, Kitab al-Kusuf, hadis no: 912]


Gambar diambil dari Kolej Jasmine UiTM Puncak Perdana pada pukul 8.18am