Wednesday 26 November 2014

Mencari Nafas Kekuatan

Ada ketikanya kita akan terasa lemah, tidak berdaya, tertekan, jasad kita sudah lelah dan penat, hati jadi celaru, dan minda haru-biru. Semua ini mengundang satu persoalan; bilakah semua ini akan berakhir??

Kekuatan, ia semakin susut.

Kekuatan, ia semakin sirna.

Ada ketika hati dalam keadaan lemah begini, amarah mula meluaskan jajahannya. Syaitan berbisik galak ke dalam hati kita. Emosi kita tidak stabil. Pertimbangan kita boleh hilang,

Kekuatan. Di manakah ia??

Dalam kekalutan emosi itu, pelbagai perkara bermain di minda kita. Kita seolah-olah melihat semua benda hampir tidak kena, kita rasa seperti semua orang tidak memahami kita, kita merasakan kenapa begini, kenapa itu? Kita merasakan kesakitan ini sudah tidak tertanggung.

Kekuatan, adakala kita tidak mahu mencari kekuatan. Kita terus memuntahkan amarah. Kita lemparkan emosi kita. Kita biarkan diri kita dibius rasional amarah itu.

Jika kita benar-benar mencari kekuatan.



Jika kita benar-benar mahukan kekuatan.

Ia tidak datang bergolek. Dalam kekalutan emosi itu, apa yang harus kita lakukan?


Carilah Sahabat Untuk Kita Duduk dan Beriman Bersama.

Satu ketika Mu’az bin Jabal R.A pernah menyebut kepada para sahabat yang lain:
“ Marilah kita duduk untuk beriman sebentar”
 
Manusia tidak pernah lepas daripada kehidupan yang menjatuhkan, manusia tidak pernah lepas daripada dugaan yang memedihkan dan menjadikan hati ini tertarah dan ditekan.

Kerana manusia ini fitrahnya lemah, kerana lemahnya ia, maka manusia ini tidak akan dapat hidup berseorangan.

Marilah kita meraih nafas kekuatan.

Serahkan pergantungan itu kepada Allah SWT. Yakinlah kepada Dia dalam doa yang dipohonkan.

Kekuatan itu, Allah SWT tidak diberikan kepada hambaNya dengan tiba-tiba.


Ingat lagi kisah Rasulullah berhijrah ke Madinah ??

Baginda Rasulullah SAW sebelum baginda Berjaya berhijrah ke Madinah, lihat betapa banyak jerih perih yang baginda perlu lalui. Ia sebagai tarbiah daripada Allah SWT sebelum baginda dan umat Islam ketika itu mempunyai segenap kekuatan yang ampuh untuk membina kerajaan Islam di Madinah.

Juga begitu kisah Sultan Muhammad Al-Fateh. Sebelum beliau berjaya meraih kekuatan untuk menawan Kota Konstantinopel, beliau diuji Allah SWT dengan peristiwa serangan yang mengorbankan terlalu banyak tenteranya hingga beliau rasa lemah yang teramat. Namun dalam keadaan itu, beliau ada seseorang di belakangnya iaitu Sheikh Shamsuddin yang membantunya duduk bersama-samanya dan beriman. Akhirnya Allah mengurniakan kekuatan bagi beliau dan rakyat beliau untuk menawan Kota Konstantinopel.

Kekuatan itu, nafasnya bukan dapat digapai dalam keadaan kita berada di zon selesa.

Allah SWT keluarkan kita dari zon itu, kerana hendak memberi kekuatan bagi kita menghadapi hari-hari yang lebih sukar.

Allah SWT berfirman maksudnya:
 
“Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. “
(Ali Imran: 120)


Bangkitlah Daripada Kesedihan Itu

Kesedihan itu akan menyapa. Kekecewaan itu akan menjengah hidup kita tanpa perlu kita menjemputnya. Jiwa kita ketika itu, seakan-akan dilanda ribut dan bencana.

Tetapi kesedihan itu bukan untuk kita berlama-lama. Kekecewaan itu bukanlah warna yang perlu untuk kita hamparkan dalam kehidupan kita dengan terlalu banyak. Bangkitlah daripada kesedihan itu, bangunlah daripada kekecewaan itu.

Jiwa yang direndam dalam kesedihan akan mengecut dan reput. Jiwa yang dibalut dengan kekecewaan akan menjadikan jiwa itu hambar dan berputus asa.

Bangkitlah, dan carilah nafas kekuatan.



Lihat bagaimana negara Jepun yang pernah dibom oleh Amerika hingga negara mereka mengalami kejatuhan yang amat teruk, ia kemudian bangkit hingga mencapai kemajuan yang menjadikan negara mereka ini setara dengan negara-negara maju seperti Amerika, Rusia dan lain-lain dalam masa 20 tahun.

Allah SWT berfirman, maksudnya:
 
“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
(Asy-Syarh: 5-6)


Ketika kita merasa sukar, ketahuilah bahawa Allah itu masih ada. Ketika dunia mungkin menyisihkan atau tidak memperdulikan kita, Allah sentiasa ada mendengar dan mengetahui rintihan hati kita.

Allah SWT mahu kamu tahu bahawa apabila kita ditimpa kesusahan sebegitu, ketika kamu mungkin ditinggalkan oleh manusia, Dia selalu ada Dia di sisi, sentiasa. Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap”

(Asy-Syarh: 8)






Kita bangkitalah daripada kesedihan ini. Kita leraikan lipatan-lipatan kekecewaan itu.
Mari kita meraih kekuatan. J



~NES~



No comments:

Post a Comment